PEKAN, 11 JULAI 2025 – Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2024 dan Kenangan Budi Seindah Memori 2025 telah diadakan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah Pekan. Majlis diserikan dengan kehadiran YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, YB Dato’ Indera Nazri Bin Abu Bakar, Ahli-Ahli Majlis dan Ahli Turut Hadir Majlis Perbandaran Pekan Bandar Diraja.
Sebagai anak jati Pekan, YB. Dato’ Indera menzahirkan kebanggaan dan mengucapkan tahniah di atas pencapaian Majlis Perbandaran Pekan Bandar Diraja yang telah membawa banyak perubahan di daerah Pekan selaras dengan kenaikan taraf daripada Majlis Daerah kepada Majlis Perbandaran.
Dalam ucapannya juga, YB. Dato’ Indera memaklumkan mengenai usaha-usaha Kerajaan Negeri Pahang yang sangat komited untuk membantu rakyat yang mana masih ramai rakyat yang belum mengetahui mengenai inisiatif, kemudahan dan bantuan-bantuan yang disediakan oleh Kerajaan bagi meringankan beban rakyat. Justeru, semua ketua jabatan dan pemimpin Masyarakat diseru untuk mengiatkan usaha dan kaedah untuk memastikan maklumat disalurkan sehingga ke bawah. Semua agensi Kerajaan juga diarahkan untuk menyahut seruan Ketua Setiausaha Negara (KSN) agar dapat mengurangkan karenah birokrasi yang merumitkan rakyat.
Pada majlis ini, YB. Dato’ Indera diiringi Yang DiPertua Majlis Perbandaran Pekan Bandar Diraja, Tuan Mohamad Nasir Bin Jusoh serta Setiausaha, Puan TPr Zuraidah Binti Abdul Majid telah menyampaikan hadiah dan cenderahati kepada 7 orang pesara tahun 2025, seorang penerima Anugerah Khidmat Setia yang mencapai 25 tahun perkhidmatan di MPPBDR, 3 orang penerima Anugerah Khas Kontrak 2024, 11 orang penerima Anugerah Yang DiPertua 2024 dan 10 orang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2024.
Tahniah kepada semua penerima anugerah. Semoga Majlis Perbandaran Pekan Bandar Diraja terus cemerlang di masa-masa akan datang.