PEKAN, 4 September 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Laman Pekan Lama, Jalan Al-Sultan Abdullah dan Jalan Orang Kaya Indera Shahbandar, Pekan Bandar Diraja bertempat di Laman Pekan Lama.
Turut berangkat, Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Projek penaiktarafan Pekan Lama merupakan titah dan inisiatif Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang di mana Majlis Perbandaran Pekan Bandar Diraja sebagai agensi pelaksana dan ECERDC sebagai pembiaya yang memperuntukan kos projek sebanyak RM6 Juta.
Pada 11 Disember 2024, dengan kelulusan Kerajaan Negeri, Majlis Perbandaran Pekan Bandar Diraja dengan sokongan Jabatan Kerja Raya menamakan semula Jalan Pekan–Nenasi kepada Jalan Al-Sultan Abdullah. Turut dilaksanakan, penukaran nama Jalan Teng Quee di pusat bandar kepada Jalan Orang Kaya Indera Shahbandar, selaras dengan titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang semasa keberangkatan baginda ke tapak projek naiktaraf Pekan Lama.
Dengan lahirnya wajah baharu Bandar Pekan melalui pembukaan Laman Pekan Lama dan penamaan jalan-jalan bersejarah, Pekan terus makmur sebagai Bandar Diraja yang bersejarah dan identiti tersendiri. Pekan bukan sekadar menyimpan warisan, malah menjadi destinasi pelancongan yang kaya dengan budaya, Sejarah dan kebanggaan bangsa.
MENJUNJUNG KASIH TUANKU
DAULAT TUANKU
Lihat galeri gambar di sini.