
Pekan merupakan sebuah Bandar yang terletak di Negeri Pahang. Bandar Pekan terkenal sebagai Bandar Diraja kerana merupakan tempat bersemayam Sultan dan kerabat Diraja Pahang serta pusat pentadbiran negeri sejak dahulu lagi. Selain itu, Pekan juga dikenali sebagai sebuah Bandar yang aman, senyap serta sentiasa menampakkan ciri-ciri Bandar diraja. Pembinaan bangunan-bangunan juga amat unik dan tersendiri terutamanya istana.
Sesuai dengan namanya Bandar Diraja, Pekan juga terkenal dengan sejarah kesultanan dan bangunan-bangunan istana lama serta kini iaitu antara bangunan yang terkenal yang telah dibina pada zaman Sultan Mahmud dan Sultan Abdullah iaitu istana Seri Terentang, Istana Kuning, Istana Leban Tunggal, istana Kota Beram, istana Inderapuri dan istana Sultan Abu Bakar.
Latar Belakang sejarah penubuhan :
Majlis Perbandaran Pekan Bandar Diraja sebelum ini telah melalui beberapa fasa /peringkat pentadbiran daripada bermula sebagai Majlis Bandaran Pekan ( Pekan Sanitary Board pada tahun 1924). Dipengerusikan oleh Pegawai Daerah di mana pada ketika ini semua perkara yang dilakukan oleh orang ramai seperti berniaga, pinjaman wang dan sebagainya perlu mendapat kebenaran Pegawai daerah terlebih dahulu dan dikenakan cukai. Pegawai Daerah pula perlu melaporkan keadaan pembangunan dan kegiatan social di Pekan setiap bulan kepada Residen Pahang pada ketika itu.
Selepas itu pada 1 November,1968 Lembaga Bandaran Pekan (Pekan Townboard) pula ditubuhkan bagi menggantikan Sanitary Board (selepas kemerdekaan) dengan tujuan untuk memantapkan lagi fungsi dan peranannya bagi menjamin kemajuan Bandar Pekan. Pada tahun 1976, Akta Kerajaan tempatan 1976 telah diwartakan bagi memperkemaskan fungsi perbandaran.
Pada 1 Julai, 1988 bersamaan 17 Zulkaedah 1408 Hijrah melalui warta Kerajaan Negeri Pahang No.503 bertarikh 23.6.1988, Majlis Daerah Pekan telah ditubuhkan bagi menggantikan Lembaga Bandaran Pekan. Majlis Daerah Pekan dilancarkan secara rasmi oleh KDYTM Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada 3 November, 1990. Majlis ini merupakan sebahagian daripada aturcara yang diatur sempena memuliakan Hari Keputeraan KDYMM Sultan Pahang dan genap 15 tahun pemerintahan baginda.
Dan kini, setelah lebih kurang hampir 35 tahun, Majlis Daerah Pekan telah dinaiktaraf kepada Majlis Perbandaran Pekan Bandar Diraja melalui warta Kerajaan Negeri Pahang No.29 bertarikh 20 Julai, 2023 yang menyatakan kenaikan taraf daripada Majlis Daerah Pekan kepada Majlis Perbandaran Pekan Bandar Diraja berkuatkuasa 30 Julai, 2023. Majlis Pemasyhuran Majlis Perbandaran Pekan Bandar Diraja telah diadakan pada 21 Oktober,2023 bersamaan 6 Rabiulakhir, 1445H jam 8.30 malam bertempat di perkarangan Majlis Perbandaran Pekan Bandar Diraja. Majlis pemasyhuran ini telah disempurnakan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. Majlis diserikan lagi dengan keberangkatan KDYMM Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan diringi paduka-paduka anakanda.