APAKAH CUKAI TAKSIRAN / CUKAI PINTU?
Cukai Taksiran atau lebih dikenali dengan Cukai Pintu ialah cukai yang dikenakan ke atas semua hartanah seperti kediaman, perniagaan, perindustrian serta tanah kosong yang berada di dalam kawasan Majlis Perbandaran Pekan (dulu dikenali sebagai Majlis Daerah Pekan)
KEPENTINGAN CUKAI TAKSIRAN/ CUKAI PINTU
Cukai Taksiran ini dikenakan untuk membolehkan Majlis Perbandaran Pekan menyalurkan perkhidmatan seperti memunggut sampah, penyelenggaraan jalan, lampu jalan, perparitan, kemudahan awam, pengindahan dan keselamatan bandar untuk kesejahteraan masyarakat.
MASA PERLU BAYAR
Cukai taksiran perlu dijelas 2 kali setahun iaitu pada:
- Setengah tahun pertama – 1 Januari hingga 28 Februari setiap tahun.
- Setengah tahun kedua – 1 Julai hingga 30 Ogos setiap tahun.
TINDAKAN OLEH MAJLIS JIKA CUKAI TAKSIRAN/ PINTU TIDAK DIBAYAR
- Denda lewat akan dikenakan selepas tempoh bayaran
- Notis (Borang E) akan dikeluarkan dan hendaklah dijelaskan dalam tempoh lima belas (15) hari dari tarikh notis dikeluarkan.
- Jika masih belum dijelaskan selepas tempoh notis, waran tahanan akan dikuatkuasakan. Kadar sebanyak sepuluh peratus (10%) akan dikenakan ke atas keseluruhan tunggakan.
- Tindakan sita/ merampas dan melelong harta alih.
- Tindakan mahkamah menjual harta tak alih.
- Kesemua kos yang terlibat akan menjadi sebahagian daripada tunggakan pemilik
TINDAKAN ANDA JIKA BIL TIDAK DITERIMA
Anda dikehendaki datang ke Pejabat Majlis Perbandaran Pekan dengan segera bagi mendapatkan bil cukai taksiran yang terkini.
TINDAKAN YANG PERLU DILAKUKAN JIKA ANDA TELAH MENJUAL/ MENUKAR MILIK BANGUNAN ATAU TANAH
- Hadir ke Pejabat Majlis Perbandaran Pekan
- Isi dan lengkapkan Borang I (Borang Pindahmilik)
- Sertakan salinan Surat Perjanjian Jual-beli atau salinan Geran Hak Milik yang mempunyai nama pemilik yang baru.
- Sertakan salinan resit bil Cukai Taksiran terkini yang telah dijelaskan.
TINDAKAN YANG PERLU DILAKUKAN JIKA PEMILIK ASAL TELAH MENINGGAL DUNIA
- Pewaris perlu hadir ke Pejabat Majlis Daerah Pekan
- Menukar nama dan alamat pemilik asal kepada pewaris terkini *perkhidmatan ini adalah percuma
TINDAKAN YANG PERLU DILAKUKAN JIKA ANDA MERUPAKAN PENYEWA
Anda perlu memaklumkan kepada pemilik harta untuk membuat pembayaran bil secepat mungkin sebelum tindakan denda lewat dan ingkar perintah (sitaan) diambil ke atas pemilik.
KAEDAH-KAEDAH PEMBAYARAN YANG DISEDIAKAN OLEH MAJLIS DAERAH PEKAN
- Bayaran tunai di Kaunter Bersepadu Majlis Perbandaran Pekan
- Bayaran melalui Jompay
- Bayaran melalui CIMB Click
- Bayaran di Pejabat Pos
- Bayaran di Pejabat Cawangan Chini , Pekan
Lampiran fail: General Assessment Tax